Fokus Malaysian Software Testing Board (MSTB)


Kemahiran teknikal sememangnya merupakan salah satu prasyarat dalam amalan pengujian sebarang jenis perisian.

Untuk mencapai kecemerlangan pengujian tersebut, kemahiran insaniah yang kukuh amat perlu.

Justeru, Malaysian Software Testing Board (MSTB) maju selangkah kehadapan menawarkan satu badan khas bagi mengkaji dan menguji apa jua perisian yang dicipta bagi memastikan ia selamat serta berbaloi untuk beroperasi.

Di negara ini, industri perisian dan aplikasi sedang giat berkembang sama ada untuk kegunaan umum mahupun kegunaan pihak industri.

Ini sejajar dengan kadar perkembangan teknologi ICT yang juga pantas bergerak di, namun sejauh mana tahap kualiti, keselamatan, keberkesanan dan standard setiap aplikasi atau perisian yang dihasilkan?

Menurut Presiden MSTB, Mastura Abu Samah, pengujian bagi setiap perisian yang telah dihasilkan adalah amat perlu sebelum ia digunakan.

Katanya, ia bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku sekali gus mampu meletakkan tahap atau standard tertentu setiap perisian yang dihasilkan.

"Ia bukan sahaja baik untuk pereka sesebuah perisian iaitu dalam bentuk penambahbaikan malah ujian juga dapat memastikan sesebuah perisian itu layak untuk digunakan.

"Namun, untuk melaksanakan ujian, pastinya agensi yang menjadi menguji perlu memiliki kemahiran dan pemahaman yang tinggi dalam bidang tersebut," ujarnya ketika ditemui di pejabat MSTB, di Puchong, Selangor baru-baru ini.

MSTB bergerak sebagai sebuah agensi yang bertanggung jawab dalam melaksanakan pelbagai ujian menyedari tanpa sokongan serta pengalaman sukar bagi pihaknya untuk mengekalkan kualiti pengujian yang dilakukan.

"Setiap hari teknologi berkembang pesat, begitu juga dengan penciptaan pelbagai perisian dan aplikasi, justeru, pihak yang menjalankan ujian juga perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan, pengalaman serta kemahiran.

"Salah satu daripada caranya adalah dengan berkongsi teknologi, kemahiran serta pengetahuan dengan tenaga pakar sama ada dari dalam mahupun luar negara," katanya.

Untuk menjayakan perkongsian tersebut, MSTB selaku agensi yang bertanggungjawab telah mengadakan sebuah persidangan yang dikenali sebagai SOFTEC 2012 baru-baru ini.

Persidangan yang melibatkan penguji profesional dari luar negara tersebut bukanlah kali pertama diadakan, malah 2012 merupakan tahun kelima di mana ia diadakan.

Jelas Mastura, seramai 14 pakar terkenal di peringkat antarabangsa, pengamal dan pemimpin pemikir telah hadir dan menyampaikan ilmu dan berkongsi pengalaman melalui 20 sesi tutorial dan bengkel.

Bertemakan The Art of Testing (Seni Pengujian), SOFTEC 2012 merupakan platform bagi perwakilan untuk memperoleh pemahaman yang lebih baik berkenaan selok belok amalan pengujian.

Antara yang menjadi tumpuan adalah teknik pengujian, aplikasi teknik yang berkesan serta kemahiran insaniah lain yang menyumbang kepada projek dan amalan pengujian yang berjaya.

"Salah satu objektif SOFTEC 2012 yang dianjujrkan adalah meningkatkan tahap kemahiran pengujian perisian di kalangan golongan profesional perisian kita.

"SOFTEC merupakan platform terbaik untuk profesional perisian dan pengurus perniagaan mengikuti trend dan perkembangan terbaru dalam industri," ujarnya.

Mastura menambah, pada masa yang sama, SOFTEC juga berfungsi sebagai platform untuk menegaskan kepentingan dan kerelevenan pengujian perisian serta kualiti perisian kepada semua organisasi sama ada kepada pengeluar mahupun pengguna.

Malah, untuk memperkayakan kandungan pada persidangan tersebut, pihaknya turut memperkenalkan ciri baru yang dikenali sebagai Makmal Ujian.

Makmal Ujian tersebut telah memberi peluang kepada perwakilan mendapat pendedahan kepada alatan pengujian yang digunakan.

Dalam pada itu, pada persidangan SOFTEC tersebut juga buat pertama kalinya disertai oleh beberapa universiti tempatan melalui kolokium Bengkel Penyelidikan Pascasiswazah.

MSTB telah menganjurkan persidangan tahunan SOFTEC sejak tahun 2008 dan acara tersebut telah berkembang menjadi acara pengujian perisian yang utama di rantau Asia.

Persidangan tersebut juga turut menerima sokongan daripada ahli Asian Software Testing Alliance (ASTA) serta negara melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.

Author: Perantau Senja
Fokus Malaysian Software Testing Board (MSTB) di postkan oleh: Perantau Senja
Jika anda berminat untuk berkongsi artikel dengan kami,hantarkan artikel menarik anda ke gilerhackers@gmail.com

 

© Copyright 2013 [GH] GilerHackers! All Rights Reserved.
Beo v.3 Themes Design by BukhariMalek | Contact On Facebook Diselenggara Oleh: IdeaKreatif