"Coop MyTeksi" Transformasi perkhidmatan teksi

File Under:

Tidak perlu lagi menunggu lama. Penumpang teksi kini boleh menempah teksi seawal mungkin bagi memastikan tugasan seharian mereka lancar.

HANYA klik ‘tempah’ pada butang aplikasi Coop MyTeksi yang dimuat turun pada gajet pintar secara percuma, penumpang kini hanya perlu menyediakan wang secukupnya untuk ke destinasi pilihan.

Jika dahulu, kita perlu menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan teksi kini tidak lagi dengan bantuan teknologi terkini.

Aplikasi Coop MyTeksi dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini menyediakan keselesaan dan keselamatan kepada pengguna.

Manakala pemandu teksi dapat meningkatkan jumlah pelanggan.
“Isu keselamatan menjadi perkara utama terutamanya kepada pengguna teksi yang terdiri daripada wanita, pelajar dan pelancong.

“Menerusi aplikasi ini, gambar muka pemandu teksi turut dipaparkan selain pergerakan teksi dapat dikesan hanya menggunakan telefon pintar malah boleh dipantau menerusi Facebook.

“Saya difahamkan, Gabungan Koperasi Pengangkutan Wilayah Tengah Malaysia menyasarkan 3,000 pemandu teksi akan menggunakan aplikasi ini menjelang akhir tahun ini," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran itu baru-baru ini.

Aplikasi tersebut merupakan usaha Gabungan Koperasi Pengangkutan Wilayah Tengah Malaysia Bhd. bersama MyTeksi Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Koperasi Pengangkutan Wilayah Tengah Malaysia, Mohd. Salleh Mat Zin yang ditemui baru-baru ini berkata, Coop MyTeksi memberi nafas baru kepada sistem panggilan radio teksi yang digunakan sebelum ini.

“Aplikasi teknologi ini mampu mengesan laluan perjalanan, pergerakan teksi dan paparan gambar wajah pemandu teksi menerusi telefon bimbit pintar, laman web dan laman sosial Internet," katanya.

Tambahnya aplikasi MyTeksi telah digunakan sejak tahun lalu dengan jumlah pelanggan seramai 50,000 orang.
“Saya yakin bilangan tersebut akan terus meningkat hasil kerjasama antara pihak koperasi dan syarikat yang mengendalikan perkhidmatan awam tersebut," katanya.

Jelas Mohd. Salleh, pada peringkat awal, ramai di kalangan pemandu teksi yang berpandangan negatif terhadap penggunaan aplikasi tersebut.
Rata-rata pemandu memberi alasan tidak begitu mahir mengendalikan gajet pintar menyebabkan mereka pada peringkat awal menolak cadangan tersebut.

Namun, setelah diberi penerangan yang menyeluruh serta di beri jaminan bahawa aplikasi serta teknologi yang digunakan akan lebih memudahkan akhirnya mereka mencuba.
Situasi berikut turut diakui oleh pengusaha teksi, Hasanudin Zainal, 56, yang telah mengusahakan teksi selama 14 tahun.

Katanya, selama ini dia hanya bergantung kepada radio untuk mendapatkan pelanggan namun perlu berebut dengan pemandu teksi yang lain.
Bagaimanapun sejak menggunakan aplikasi Coop MyTeksi, Hasanudin tidak perlu lagi berebut dengan pemandu lain kerana aplikasi tersebut akan memilih siapa yang berada paling hampir dengan pelanggan.

“Guna aplikasi ini lebih senang, sebab di rumah pun kita boleh sahkan tempahan yang dibuat oleh pelanggan berbanding sebelum ini yang memerlukan pemandu yang guna radio kena keluar ke jalan raya dahulu baru dapat panggilan untuk ambil pelanggan," ujarnya yang semakin pandai menggunakan gajet pintar berbentuk tablet.

Jelas Hasanudin lagi, semasa menggunakan radio hanya 12-13 panggilan sahaja diperolehi sehari dan tidak semuanya boleh diambil olehnya.

Kini, setelah menggunakan aplikasi Coop MyTeksi, dia mampu menerima sehingga 16 tempahan sehari.
Malah katanya, menerusi aplikasi tersebut, dia juga tidak terkejar-kejar untuk mendapatkan pelanggan.

Selain mudah untuk menempah, pelanggan juga boleh memuat naik perjalanan dengan cara berkongsi maklumat perjalanan kepada keluarga mahupun rakan menerusi Share Your Ride di laman sosial seperti Facebook dan Twitter bagi tujuan keselamatan.

Sumber

Author: Bukhari Malek
"Coop MyTeksi" Transformasi perkhidmatan teksi di postkan oleh: Bukhari Malek
Jika anda berminat untuk berkongsi artikel dengan kami,hantarkan artikel menarik anda ke gilerhackers@gmail.com

 

© Copyright 2013 [GH] GilerHackers! All Rights Reserved.
Beo v.3 Themes Design by BukhariMalek | Contact On Facebook Diselenggara Oleh: IdeaKreatif