Info Solat dan Lain Lain dengan Aplikasi Muslim Pro

File Under:

Dengan perkembangan dunia teknologi maklumat (IT) hari ini yang dilihat semakin berkembang dari hari ke hari, secara tidak langsung ia turut mempengaruhi gaya hidup masyarakat setempat.

Hari ini, masyarakat dilihat menjalani proses kehidupan lebih efisien dengan kemudahan mobiliti yang kian rancak dibangunkan, sekali gus memperlihatkan kebangkitan aplikasi rangkaian sensor.

Muslim Pro adalah antara aplikasi yang komprehensif untuk penganut agama Islam.

Aplikasi tersebut menyediakan waktu solat berdasarkan lokasi pengguna, penunjuk arah kiblat seluruh dunia, berhubung dengan aplikasi lokasi popular, Foursquare, untuk pencarian restoran halal serta masjid, dan tidak ketinggalan bacaan serta mempelajari al-Quran.

Aplikasi berkenaan boleh digunakan di telefon pintar yang mempunyai platform iOS (produk Apple) dan Android bahkan ia juga dapat digunakan di laman sesawang (www.muslimpro.com) untuk mendapatkan waktu solat serta penunjuk arah kiblat.

Sehingga saat ini, aplikasi Muslim Pro telah dimuat turun lebih daripada lima juta kali, terutama dari negara-negara Islam seperti Arab Saudi, Emeriyah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Malaysia, Turki, dan Maghribi.

Tidak ketinggalan negara-negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam seperti Perancis, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat serta Singapura.

"Ini adalah aplikasi terbaik dan praktikal yang terkandung di dalam iPhone saya dan sudah pasti ia merupakan aplikasi yang sering digunakan.

"Arah kiblatnya sangat tepat malah waktu solat akan bertukar mengikut lokasi di mana kita berada.

"Aplikasi ini sangat bagus dan berguna", kata seorang pengguna yang berasal dari United Kingdom.

Pada masa yang sama, Muslim Pro telah terbukti merupakan satu aplikasi yang amat berguna bagi umat Islam yang sering bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Aplikasi ini memiliki semua yang diperlukan dan telah dibangunkan dengan teliti.

Inilah teman perjalanan yang sempurna, melalui berbagai zon waktu yang berbeza, dari China ke Asia Tenggara seterusnya ke UK. Mulai dari waktu solat hingga penunjuk arah kiblat, aplikasi ini turut memiliki bacaan al-Quran yang dapat dimuat turun dalam bentuk audio (suara).

Bagi mereka yang melancong juga dapat melihat senarai masjid serta restoran halal di mana sahaja anda berada. Ia sangat bermanfaat.

Sebelum ini, Muslim Pro banyak digunakan pada bulan Ramadan. Untuk itu tidak hairan sekiranya jumlah penggunaan aplikasi ini akan melonjak pada bulan tersebut.

Untuk memenuhi keperluan bagi pengguna yang tidak menggunakan telefon pintar dan iOS, pemaju aplikasi ini, Bitsmedia, yang berpangkalan di Singapura, baru-baru ini telah melancarkan versi laman sesawang daripada aplikasi ini.

Boleh dilayari di www.muslimpro.com, laman sesawang ini mesra pengguna malah dengan penggunaan teknologi moden di samping pengkomputeran awanan Google ia mampu dimuat turun dengan lebih cepat berbanding format biasa yang ditawarkan di komputer meja, tablet dan juga telefon.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Bitsmedia Erwan Mace berkata, pihaknya sangat gembira dengan maklum balas positif yang diterima dari umat Islam seluruh dunia.

''Ini adalah motivasi kepada kami untuk membangunkan Muslim Pro menjadi aplikasi yang lebih baik,'' katanya.

Kini dalam perancangan, Bitsmedia akan membangunkan aplikasi Muslim Pro untuk pelbagai platform dalam usaha memenuhi ciri-ciri telefon terkini.

Pada masa yang sama, mereka juga merancang untuk menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi serta perusahaan untuk membangunkan pangkalan data masjid dan juga restoran halal sehingga tidak lagi perlu bergantung pada Foursquare.

''Tahun ini merupakan tahun yang menarik.

''Penglibatan dalam perniagaan yang berasaskan teknologi bermakna harus menghasilkan produk serta inovasi yang tidak berubah dan semestinya produk yang dihasilkan amat berguna dan berkaitan dengan teman-teman kami yang beragama Islam," jelas Mace.

Tambah beliau lagi, pihaknya berharap agar produk serta perkhidmatan yang diberikan akan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat yang beragama Islam dalam usaha untuk menghasilkan teknologi yang berkaitan dengan keperluan agama mereka.

Author: Bukhari Malek
Info Solat dan Lain Lain dengan Aplikasi Muslim Pro di postkan oleh: Bukhari Malek
Jika anda berminat untuk berkongsi artikel dengan kami,hantarkan artikel menarik anda ke gilerhackers@gmail.com

 

© Copyright 2013 [GH] GilerHackers! All Rights Reserved.
Beo v.3 Themes Design by BukhariMalek | Contact On Facebook Diselenggara Oleh: IdeaKreatif