GODAM LAMAN WEB MILIK KERAJAAN, DUA LELAKI DITAHAN



Kuala Lumpur, 2 Mei - Polis menahan dua lelaki tempatan kerana disyaki menggodam dua laman web milik kerajaan, dalam satu serbuan di sebuah hotel di Jalan Raja Laut, di sini, Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata dua laman web yang digodam suspek itu ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JPM), yang masing-masing membuat laporan pada 27 Dis 2012 dan 18 Feb lepas.

Katanya suspek pertama berusia 33 tahun, merupakan usahawan manakala rakannya, 28, seorang pakar komputer.

"Laporan berkenaan dibuat oleh pegawai JPN bahagian kad pengenalan yang mendakwa satu surat palsu dihantar kepada beberapa cawangan JPN di seluruh negara mengarahkan semua kad pengenalan MyKad dan MyKid yang tidak dituntut dalam tempoh 18 bulan, dihantar ke sebuah alamat di Keningau, Sabah untuk perhatian seseorang.

"Arahan itu dikeluarkan menerusi e-mel, katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.

Syed Ismail berkata suspek turut disyaki terlibat menggodam sistem komputer JPM, dan polis telah menerima laporan daripada JPM, mengatakan bahawa sistem e-Akhbar dan e-Press digodam pihak tidak bertanggungjawab.

"Mereka mempunyai kemahiran terperinci menggodam dan polis menyiasat laporan itu mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997, dan kita percaya suspek dapat membantu siasatan.

"Antara barangan milik suspek yang dirampas ialah empat komputer riba, tiga telefon bimbit, cakera keras luaran, pemacu luaran," katanya sambil menambah suspek kini ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi meneruskan siasatan. - BERNAMA
Sumber: Facebook Polis Diraja Malaysia

Author: Bukhari Malek
GODAM LAMAN WEB MILIK KERAJAAN, DUA LELAKI DITAHAN di postkan oleh: Bukhari Malek
Jika anda berminat untuk berkongsi artikel dengan kami,hantarkan artikel menarik anda ke gilerhackers@gmail.com

 

© Copyright 2013 [GH] GilerHackers! All Rights Reserved.
Beo v.3 Themes Design by BukhariMalek | Contact On Facebook Diselenggara Oleh: IdeaKreatif